Tinta Penulis:
SAYA mengambil masa yang panjang untuk kembali menulis novel cinta selepas Izinkan Kubahagia. Kemujuran buat saya kerana dapat menyelesaikan Ceritera Rindu Ini dalam tempoh yang agak pendek. Mungkin kerana ia sangat dekat dengan ke hidupan saya.
Menulis surat kepada seorang pak cik adalah angan-angan saya kerana terpengaruh dengan drama Kantonis yang saya tonton semasa kecil, juga cerita kartun Daddy Long Legs. Memandangkan ia tidak hadir dalam bentuk realiti, maka saya menghadirkan ia dalam fantasi saya.
Saya berpandangan setiap perempuan ada ‘kejahatan’ ter sendiri. Iman mewakili pandangan saya itu. Bagi mengimbangi sisi gelap Iman, Amin hadir sebagai lelaki baik, tetapi kebaikannya juga ada had. Kekecewaan dan kemarahannya meledak lalu menghilangkan diri sebagai hukuman kepada Iman.
Memaafkan kadangkala sangat sukar. Melupakan lebih-lebih lagi. Setiap daripada kita ada perkara silam yang pahit, ada kebencian pada orang yang pernah hadir dalam hi - dup kita. Tetapi belajar melepaskan adalah yang terbaik. Biarkan semalam menjadi ingatan kerana hari ini bukan untuk disia-siakan dan masa depan bukan untuk dihancurkan. Jangan biarkan diri kelelahan kerana kebencian silam.
Semoga kisah Iman dan Amin ini tidak sia-sia untuk dibaca.